assalamualaikum w.b.t...
Salah
satu tanda keagungan Allah pada diri manusia adalah perbezaan yang Dia
wujudkan dalam diri setiap manusia yang diciptakan secara sesempurna
mungkin. Setiap insan mempunyai potensi dan kemampuan yang tersendiri
untuk menjadikan dirinya sebagai siapa dia pada hari mendatang.
Trust.
Bukanlah satu benda yang mudah untuk kita buat. Lebih-lebih lagi dengan
orang lain. Tetapi lain halnya dalam konteks percaya pada diri sendiri.
Kalau kita tak mampu untuk percaya pada diri sendiri, bagaimana kita
nak buat orang lain percaya pada kita? Orang lain takkan yakin dengan
apa yang kita mampu selagi kita pun tak yakin dengan diri sendiri.
Janganlah
kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal
kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu
orang-orang yang beriman. (Ali Imran: 139)
Sedangkan dalam
keadaan kita percaya dengan diri kita sendiri pun masih ramai yang
memandang sinis. Pekakkan telinga, kutip setiap kata-kata orang umpama
mengutip ranting-ranting kering. Kumpulkan menjadi satu longgokan.
Jangan dibuang terlalu awal. Siapa sangka mungkin ia berguna di masa
hadapan. Mungkin boleh dijadikan kayu api sebagai pembakar semangat
hidup kita. Abaikan kata-kata negatif yang hanya menjatuhkan semangat
kita dalam mengatur tapak untuk lebih maju ke hadapan.
Dari Abu
Hurairah r.a, dia berkata: “Rasululah S.A.W bersabda, ‘Di antara (tanda)
kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak
bermanfaat baginya’ – HR At-Tirmidzi
Seekor helang yang
dibesarkan dalam kelompok seekor ayam juga akan membiasakan dirinya
dengan cara dan kebiasaan kelompok ayam itu tanpa tahu potensi dirinya
yang sebenar. Kerana apa? Kerana ia tak pernah punya keyakinan dan
kekuatan dalam dirinya sendiri untuk mencari potensi dirinya yang
sebenar. Setiap hari ia diajar dengan gaya hidup kelompok ayam sehingga
ia tidak sedar dengan kemampuannya sendiri. Ia takkan pernah tahu bahawa
ia boleh terbang tinggi kerana kelompok tempat ia bergaul tidak pernah
memberikannya perangsang untuk menjadi dirinya.
Sehinggalah
suatu saat apabila ia berani untuk melangkah keluar dari kelompok
kebiasaannya dan mencari titik potensinya. Saat itu barulah ia akan
sedar sejauh mana ia mampu untuk terbang gah di langit biru berbanding
kebiasaannya mematuk padi setiap hari. Saat ia membawa dirinya keluar
dari kelompok kebiasaannya barulah ia berjaya mencari kekuatan dirinya
yang selama ini terpendam.
Optimis adalah sebuah keyakinan yang
akan membawa kita kepada satu pencapaian. Kita takkan mampu sampai
ke satu-satu tahap tanpa kepercayaan pada diri sendiri. Yakin dengan
usaha kita untuk mendapatkan apa yang kita inginkan.
Dari sudut
lain ia dipanggil tawakkal. Setiap langkah yang diambil bukanlah
merupakan sesuatu yang mudah, akan ada tentangan dan rintangan yang
mesti dihadapi.
Menginjak remaja, semakin banyak cabaran yang
bakal ditempuh. Semakin banyak perkara perlu difikirkan. Kita harus
struggle untuk berada di atas. Dicemuh, disindir, dipuji itu sebahagian
dari proses untuk terus kehadapan. Cara bertahan? Percaya bahawa Dia
ada. Kita sentiasa dalam genggaman Allah walau dimana sekalipun kita
berada. Apa pun yang berlaku, letakkan Dia di carta teratas. Bila tiba
masa seluruh dunia menolak, Dia akan tetap mendakap penuh erat.
Jangan
pernah letakkan indicator untuk mendapatkan high expectation daripada
orang lain. Manusia memang takkan pernah puas dengan apa yang ada di
hadapan mereka. Memang akan sentiasa mencari kepincangan dalam apa
sahaja yang terzahir mahupun tidak. Dalam seribu mata yang bertembung
dengan mata kita,mungkin hanya sepasang mata yang benar-benar ikhlas
menjalin ukhuwah. Tak semua orang bahagia bila kita bahagia. Tak semua
juga yang akan senyum bila kita tersenyum. Tak semua akan terkesan bila
kita berduka.
Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan
kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka
malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): “Janganlah kamu
merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu
dengan (memperoleh) surga yang telah dijanjikan Allah kepadamu”.
(Fusshilat: 30)
Siapa kita di tempat kita berdiri hari ini
adalah kerana bagaimana kita percaya diri pada hari semalam. Lakukan
sesuatu agar diri kita di masa hadapan berterima kasih kepada kita pada
hari ini. Memilih sesuatu jalan untuk ditempuh bukanlah suatu keputusan
mudah yang dibuat dalam masa sehari cuma. Keputusan untuk berada di
jalan di mana kita berada sekarang mungkin mengambil masa
berbulan-bulan. Bahkan mungkin bertahun-tahun. Kenapa? Kerana untuk
berada di setiap satu titik dalam dunia ni memerlukan kekuatan dari diri
sendiri. Sampai satu saat even family pun hanya mampu untuk menyokong
dari belakang sahaja.
Kita perlu sedar bahawa setiap insan
mempunyai pandangan dan juga hala tuju sendiri dalam kehidupan mereka.
Sikap percaya pada diri sendiri amat penting dalam menentukan arah dan
tujuan peribadi diri kita daripada mengikut jejak orang lain yang
pastinya satu hari nanti akan membunuh karakter peribadi kita.
Bukankah
setiap apa yang kita terima tidak kira sama ada baik ataupun buruk
adalah sesuai dengan kemampuan kita? Dan hanya kita yang tahu sejauh
mana potensi diri kita. Maka, kembangkan potensi dalam diri kita. Tak
usah risau ataupun meragui apa yang diragui oleh orang lain terhadap
kemampuan kita. Kerana Allah itu ada, dan Dia Maha Mengetahui perihal
hamba-hambanya. Allah takkan meletakkan seseorang di atas sesuatu
landasan tanpa sebab selayaknya.
“Katakanlah: “Hai
hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri,
janganlah kamu terputus asa dari rahmat Allah.” (QS. Az Zumar: 53)
Sampai
satu saat, kita akan mampu merasakan nikmatnya apabila kita percaya
dengan diri sendiri. Akan timbul satu rasa kedamaian dalam hati kita.
Ramai orang tersalah langkah dengan membandingkan dirinya dengan orang
lain yang seterusnya membuatkan dia terikut-ikut dengan gaya orang lain
kerana kurang bersyukur dengan dirinya sendiri.
Setiap hari,
cuba untuk benihkan rasa keyakinan dalam diri sendiri kerana itulah yang
menjadikan siapa diri kita yang sebenarnya. Tidak salah menjadi seorang
yang chubby, rendah, hitam, putih, hatta kelabu sekalipun. Rasa percaya
pada diri sendiri itu akan menyelamatkan kita.
Setiap manusia
itu sudah diberikan akal fikiran, yang membuatkan kita mampu untuk
membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, yang terpuji dan tercela,
dan mana yang terbaik untuk kita. Kerana itulah manusia mendapat darjat
yang tinggi. Namun begitu, sikap percaya pada diri sendiri itu juga
haruslah digariskan dengan kepercayaan dan rasa syukur kepada Allah.
Yakin dengan diri sendiri tidak bermaksud kita boleh mengetepikan Allah.
Kerana setiap apa yang kita lalui, setiap apa yang berlaku di dunia
ini, semuanya adalah di bawah kekuasaanNya. Ketika akal dan kepercayaan
yang dititipkan oleh Allah disalahgunakan, maka darjat kita akan menjadi
lebih rendah.
xoxo,
yanie
No comments:
Post a Comment