antara tawakkal, redha dan sabar

assalamualaikum w.b.t...

setiap kali becakap dengan Drs, the main thing yang dorang pesan is - remember the patient that u cant save..so that u will try harder to save more patients in the future..
teringat kenangan masa internship dulu..

gambar: google


***

Tawakkal itu berserah dan percaya kepada Allah setelah kita berusaha sehabis daya. Redha itu ikhlas menerima segala ketentuanNya dalam apa jua keadaan. Sabar itu mengawal emosi saat diuji.

Sebagai manusia kita takkan pernah lari dari sifat semulajadi seorang manusia. Dalam setiap apa jua yang kita hadapi sudah tentu kita akan berhadapan dengan emosi sedih, gembira, kecewa, bahagia, dan sebagainya.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenteram” - (Ar-Rad:28)

***

“Patient fit ke? Mata macam dah rolling tu,” specialist berjalan mendekati pesakit. Ditepuk bahu pesakit namun tiada respond. Hanya badannya sahaja yang menunjukkan tanda bahawa dia dalam keadaan ‘fit’ atau sawan.

“Awak, tolong saya,” tiba-tiba suasana di dalam ward ketika ward round pagi itu bertukar cemas. Tirai di sekeliling pesakit ditarik untuk menjaga privacy pesakit. Waris pesakit diminta untuk tunggu di luar tirai. Aku segera ke sisi katil pesakit yang tiba-tiba tidak sedarkan diri tadi – membantu doktor pakar melaraskan katil. Doktor memeriksa nadi serta ritma nafas pesakit dan segera melakukan CPR.

“Pakai glove, help me with CPR,” laung doktor tadi sambil terus menekan dada pesakit. Segera aku berlari mendapatkan glove dan bersedia untuk mengambil alih tugas CPR. Troli ubat-ubatan kecemasan ditolak masuk ke kawasan katil pesakit. Doktor lain yang bertugas segera memasang line bagi memudahkan proses memasukkan ubatan yang mampu membantu mengembalikan denyut nadi pesakit tadi.

“Change,” kata doktor yang sedang melakukan CPR tanda mahu bertukar tangan. Aku segera mengambil alih tugas melakukan CPR. Katil pesakit dipanjat. Dada pesakit ditekan bagi membantu jantung berdegup kembali.

“Please mak cik, buka mata,” omel doktor di sebelahku perlahan sambil aku terus menekan dada pesakit yang tidak berombak sejak tadi. Di sebelah kiri, doktor yang lain mula melakukan intubasi kepada pesakit.

Doktor senior di hadapanku meminta aku untuk berhenti melakukan CPR untuk melihat sama ada jantung sudah kembali berdetak ataupun tidak.

Hampa.

Satu, dua, tiga, CPR masih diteruskan. Dua kali defibrillator ditekap ke dada pesakit.

Segala jenis ubatan untuk menaikkan tekanan darah dan membantu jantung berdegup berterusan diberikan kepada pesakit. Dalam kekalutan pagi itu, aku terdengar doktor senior di hadapanku berbisik, "Please mak cik. Please wake up,” perlahan, namun masih jelas didengari kerana aku berada paling hampir dengannya waktu itu. Hatiku tersentuh. Waktu itu nafasku kering dan aku meminta untuk bertukar tangan untuk melakukan CPR. Seorang sahabat lain segera mengambil alih.

Aku mencari-cari detik nadi pesakit itu. Hampa. Tangan pesakit dipegang. Sejuk. Dingin. Dua puluh minit CPR dilakukan. Ubat-ubatan yang berkaitan juga sudah diberikan. Namun tanda-tanda pesakit tadi akan sedar tiada.

Empat puluh minit berlalu. Akhirnya, kami terpaksa akur. Dia lebih menyayangi pesakit itu. Perlahan-lahan CPR dihentikan atas arahan doktor pakar. Cardiac monitor jelas memaparkan flatline. Segala alatan untuk mengesan degup jantung ditanggalkan satu persatu.

Innalillahiwainnailaihirojiun.

Aku masih berdiri di sisi katil pesakit. Doktor pakar keluar dari ruangan katil pesakit untuk memaklumkan ahli keluarga pesakit mengenai berita itu.

“I’m so sorry mak cik. It’s hurtful to say goodbye like this. He loves you more,” doktor senior tadi berbisik perlahan. Seorang demi seorang mula meninggalkan ruangan katil pesakit. Jururawat mula mengambil alih tugas seterusnya.

Keluar sahaja dari ruangan katil pesakit tadi, banyak mata yang memandang. Perlahan-lahan glove ditanggalkan. Aku mengerling jam di pergelangan tangan. Baru pukul 10.35 pagi. Suasana yang berjaya menaikkan hormon adrenalin sesiapa sahaja yang terlibat dan melihat.

Anak bongsu pesakit yang saban hari menjadi peneman setia terduduk sambil matanya merenung jauh ke hadapan. Mungkin masih terkejut kerana dia merupakan orang pertama yang menerima berita itu. Tergopoh-gopoh tangannya menekan nombor di telefon bimbit. Esaknya perlahan, tidak selaju air matanya. Aku sebak. Namun rasa itu harus ditelan.

Sekelip mata sahaja segalanya berubah. Itulah takdir. Bila Dia berkata ‘kun’, maka jadilah ia. Siapa kita untuk menidakkan sesuatu yang sudah rapi dibawah perancanganNya?

“Dialah yang menghidupkan dan mematikan, maka apabila Dia menetapkan sesuatu urusan, Dia hanya bekata kepadanya: ‘Jadilah’, maka jadilah ia” - (Al Mu'min:68)

Tiba-tiba seorang lelaki dan wanita melangkah masuk ke ruangan ward. Meluru mereka mendapatkan anak pesakit tadi. Mereka memeluk gadis itu yang ternyata si adik. Kakaknya terus meraung terduduk di lantai ward. Si abang hanya diam dengan mata berkaca.

“Doktor! Buatla sesuatu lagi. Takkan macam ni je mak tinggalkan kami. Takkan tak ada cara lain. Mak bangunla mak,” teresak-esak si kakak menangis sambil memeluk kaki doktor pakar di situ.

Anak lelakinya tiba-tiba bersuara, “Dasar doktor tak guna! Ni semua mesti sebab doktor lembab ni! Dasar makan gaji buta! Bod*h semuanya! Kalau doktor buat kerja betul-betul semua ni tak berlaku!”

“Sabar encik. Kami dah cuba semua yang terbaik dan terdaya kami lakukan. Tapi, Dia lebih menyayangi ibu encik,” Doktor pakar cuba menenangkan.

“Ahh! Sabar, sabar! Kau apa tahu! Kau senang-senang je suruh orang sabar! Kau tak rasa, kau tak alami!” jari telunjuknya dituding ke muka doktor itu. Si kakak masih lagi teresak.

Adik mereka melangkah perlahan memeluk kakaknya.

“Sudahlah kak. Redhakanlah,” sambil kolam matanya kembali pecah.

Aku yang berdiri di ruangan itu bertukar pandangan dengan rakan lain. Kami sama-sama terdiam.

Sesungguhnya doktor bukan Tuhan. Doktor hanyalah perantara yang bersandarkan kun fayakun Dia Yang Esa. Mereka juga manusia. Sudah tentu mereka masih mempunyai rasa sedih, kecewa, sesal yang mendalam; hanya tidak diluahkan.

“Keimanan ialah bersifat sabar dan berlapang dada,” – HR Thabrani

Siapa pun kita, dalam segala apa jua yang kita lakukan, kita hanya mampu berusaha dan bertawakal. Selebihnya hanya Dia Yang Maha Berkuasa menentukan segala-galanya. Dia Pencipta, pemilik dunia dan isinya. Sudah tentu Dia berhak atas segala-galanya.

Tawakal itu penting, agar kita sentiasa muhasabah diri dan sentiasa mengingati Allah selari dengan usaha yang berterusan. Sebagai hamba, kita hanya mampu berharap kepadaNya dalam apa jua keadaan yang bakal membawa pelbagai kemungkinan.

Meredhakan itu sukar. Namun, Islam mengajar umatnya untuk meredhakan sesuatu – percaya bahawa Allah ada. Segala yang berlaku adalah di bawah ketentuanNya. Allah tidak akan menguji seseorang di luar kemampuan mereka.

“Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan : ‘Allah telah mentakdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat’; kerana sesungguhnya perkataan ‘andaikata’ itu memberi peluang kepada syaitan ” - (Hadis Riwayat Muslim)

Allah takdirkan hidup ini memerlukan kombinasi usaha, ikhtiar, doa dan tawakal kerana kehidupan ini merupakan satu medan ujian yang tidak pernah berakhir; dan fitrahnya selagimana kita berusaha, selagi itu Allah akan membantu urusan kita.

Namun kadangkala aturan hidup tidak seiring dengan apa yang kita harapkan. Kita kadangkala teruji dengan rasa kecewa; dan dalam setiap ujian yang diberikan, Allah juga titiskan secebis kekuatan saat kita dalam kekecewaan. Dia selitkan didikan agar kita belajar bersabar untuk meredhakan ketentuanNya.

“Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan,” – (An-Nahl:96)

***

#truestory


xoxo,
yanie

mengingati mati menghidupkan hati

assalamualaikum w.b.t...



Pagi masih lagi muda. Aku mendekati seorang mak cik yang terlihat sedang keletihan dalam mencari ritma nafas yang selesa. Dadanya turun naik mencari oksigen untuk diisi kedalam paru-paru. Senyuman masih juga dihadiahkan kepadaku.

“Assalamualaikum mak cik. Mak cik masuk wad ni kenapa ye mak cik? Hari ni rasa macamana?” tanyaku sebagai permulaan. File pesakit kubelek satu persatu.

“Waalaikumussalam. Mulanya mak cik tak sedarkan diri kat rumah. Darah tinggi. Anak-anak bawa mak cik ke hospital. Enam hari mak cik di ICU. Tapi, Allah masih nak berikan peluang untuk mak cik hidup. Alhamdulillah, dua hari lepas mak cik dah sedar. Sebab tu sekarang kat sini. Masih kena tahan lagi. Sebab tekanan darah belum stabil. Tapi macam dah sihat sikit,”

“Mak cik rasa macam mati hidup semula. Mak cik ingatkan enam hari tak sedarkan diri tu memang Allah dah nak panggil balik. Rupanya Dia masih beri peluang hidup pada mak cik. Mungkin Allah nak bagi peluang untuk mak cik bertaubat lagi,” jawab mak cik itu dalam nada kesal. Aku mengangguk dan senyum, ‘Tinggi juga tekanan darah mak cik ni, patutla dia kata umpama mati hidup semula’ aku bermonolog.

Tiba-tiba pesakit lain yang berada di kubikel belakang tidak sedarkan diri. Sekelip mata suasana berubah cemas. Doktor yang bertugas segera bertindak mengembalikan semula nafas pesakit yang hilang seketika tadi. Lima belas minit bergelut dengan masa dan akhirnya Allah masih juga berikannya peluang kedua. Walaupun matanya terus pejam, namun nafas dan nadi yang hilang seketika tadi kembali berentak. Sudah tertulis bukan lagi masanya untuk dia kembali. Mungkin masih banyak tanggungjawabnya di dunia yang masih belum selesai. Betapa Allah itu Maha Berkuasa untuk segala sesuatu. Sesaat detik nadi hilang, sesaat juga ia dikembalikan.

Maha suci Allah yang di tangan-Nya segala kerajaan, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun - (Al-Mulk: 1-2)


Mati. Satu perkataan yang sering kita dengar. Juga satu perkataan yang amat digeruni oleh sesetengah individu. Ada yang percaya bahawa perkataan ini membawa malang jika disebut berulang kali. Tapi, bukankah menurut Islam mengingati mati itu menghidupkan hati?

Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?

Baginda menjawab: “Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik,” - Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah


Mengapa Rasulullah menyuruh kita mengingati mati? Kerana mati itu pasti. Tidak kira walau di pelusuk dunia mana sekalipun kita berada, tidak kira di gua mana sekalipun kita bersembunyi, jika sudah sampai masanya kita dipanggil untuk menghadap Illahi, kita takkan mampu lari dari kematian.

Pernah seorang sahabat bercerita mengenai pengalamannya sewaktu di jabatan kecemasan. Ada satu kes kemalangan yang melibatkan tiga sekeluarga di mana si ibu hanya mengalami luka ringan di bahagian kaki dan lengan. Manakala si ayah dan anak tiba dalam keadaan kritikal dengan pendarahan yang tak henti-henti. Segala usaha dilakukan untuk menyelamatkan si anak namun Allah lebih menyayanginya. Selepas setengah jam, si ibu pula tiba-tiba tidak sedarkan diri dan menyusul anaknya walaupun jika dilihat dari luaran tiada apa-apa kecederaan yang serius. Si ayah selamat; dan apabila sedar, dia meraung tidak percaya dengan berita pemergian kedua-dua insan yang disayangi. Aturan Allah tak siapa mampu menduga. Tak siapa mampu menghalang.

“Ada satu kes, seorang adik ni tengah elok je berjalan dari ruang menunggu, dia pergi toilet and datang duduk balik. Tiba-tiba dia muntah darah and terus collapsed. Yang tu pun tak dapat diselamatkan. Sekejap je kan maut tu. Tak terlewat walaupun sesaat. Kadangkala tak terduga langsung,” satu-persatu cerita mengenai kematian didengar dan dilihat.

Mati itu datangnya tanpa pemberitahuan. Kematian itu rahsia Allah. Mengapa? Supaya setiap orang islam itu sentiasa bersedia dalam menghadapi sakaratul maut. Mungkin hari ini kita mampu bergelak tawa, mungkin esok bukan lagi milik kita untuk tersenyum gembira. Pastinya diantara kita pernah mendengar berita mengenai kematian yang tak diduga. Tak perlu bersebabkan sesuatu yang nyata, kadangkala dalam helaan nafas juga boleh menjadi helaan terakhir yang memisahkan kita dan dunia fana ini. Bila Allah berkata ‘kunfayakun’, dalam tidur pun nyawa boleh terpisah dari jasad. Kehidupan di dunia ini berbeza sekali dengan kehidupan di akhirat sana. Sentiasalah mengingati mati supaya kita sentiasa mempersiapkan diri menghadapi saat yang tak terduga.

“Sesungguhnya hati manusia itu berkarat seperti berkaratnya besi,” Sahabat-sahabat bertanya, “Apakah penggilapnya wahai Rasulullah?” Rasulullah menerangkan, “Membaca Al-Quran dan mengingati mati,” – Hadis Riwayat al-Baihaqi

Sungguh, mati itu dekat. Malaikat maut sentiasa ada bersama kita, dalam kalangan kita, mengekori gerak-geri kita, setiap saat dan ketika. Izrail tidak hanya mendekati manusia beberapa saat sebelum ajal. Bahkan, malaikat maut sentiasa mengintai dan berada dekat dengan kita. Bukankah setiap yang hidup itu pasti akan mati?

Kematian tidak pernah mengenal usia, baik yang tua mahupun muda. Kerana itulah mereka yang muda jangan sesekali leka dengan usia muda. Walaupun mempunyai tubuh badan yang sihat dan wajah yang tampan dan cantik, itu bukan jaminan jauhnya kematian.

Ada yang melihat kematian itu sebagai satu ibrah. Ada juga melihat sebagai satu peluang untuk mendapatkan sesuatu. Tanpa sedar setiap satu berita kematian itu adalah peringatan dariNya.

Bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baiknya bekal adalah taqwa – (Al Baqarah : 197)

Pernah tak kita soal hati kita – apa amalan yang bakal kita bawa bila kita dijemput nanti? Cukupkah amal yang selama ini kita buat sebagai bekalan bertemu Allah? Yakinkah kita setiap hela nafas yang dipinjamkan kepada kita telah dimanfaatkan ke jalanNya sebagai mahar bertemu Allah nanti? Segala amalan yang kita lakukan di dunia ini akan dipertanggungjawabkan kelak walaupun sebesar biji sawi.

Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya – (Ali Imran: 185)

Soal diri kita - adakah kematian kita nanti akan bersulam perjuangan terhadap agama Allah atau dalam bentuk menegakkan agama Allah atau sebaliknya? Adakah saat nyawa ditarik dari badan jiwa kita bersalut kemuliaan atau berselimut kedustaan – itu adalah satu pilihan. Selagi nyawa masih dikandung badan, kita punya pilihan untuk menentukan jalan mana yang terbaik sebagai jalan kearah redhaNya.

Waktu pertemuan denganNya itu dekat. Sedekat jarak azan dan solat. Setiap hela nafas ini adalah pinjaman dariNya, setiap detik nadi juga adalah pinjamanNya. Dunia ini pinjaman. Perpisahan itu menyakitkan. Tapi percayalah, pertemuan di syurga kelak adalah kemanisan yang abadi.

"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah" dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: "Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu." Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah." Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?"- (An-Nisa’:78)



xoxo,
yanie