kerana jodoh rahsia Allah

assalamualikum w.b.t...

 




“Bila nak kahwin?”

Soalan yang paling popular diantara soalan yang lainnya.

“Abang dah kahwin, kakak dah kahwin, kamu bila lagi?”

Senyum.

“Kenapa kamu ni macam tak mencari? Tak rasa nak kawin ke? Ke sebab memilih sangat?”

“Jodoh tu kan dah ditentukan. Sampai masa Allah hadirkan la yang terbaik”

“Ke sebab memang tak nak kahwin?”

“Astaghfirullahalazim. Ke situ pulak. Kahwin tu kan elok. Cuma, perkahwinan ni bukan perkara biasa. Bukan perkara main-main. Bukan sekadar akad je. Kahwin ni besar tanggungjawabnya, sebab tu tak boleh main redah je,”

“So, bila nak kahwin?”

“Bila nak makan nasi minyak?”

“Bila nak jadi raja sehari?”

“InsyaAllah, doakan,”


********

Jodoh itu rahsia Allah. Sekuat mana kita setia, selama mana kita menunggu, sehebat mana kita merancang, sekeras mana kita bersabar, sejujur mana kita berbagi kasih, ia tetap rahsia Allah.

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; Dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” – (An-Nisaa’ : 1)


Putaran kehidupan dan usia di luar kawalan kita. Sama halnya dengan soal jodoh. Keinginan untuk berkahwin adalah fitrah manusia. Sebagai makhluk Allah S.W.T, setiap manusia yang sudah dewasa pasti memerlukan teman hidup yang berlainan jenis. Setiap manusia itu memerlukan pasangan yang mampu untuk mencintai dan dicintai.

Tak bercakap soal nikah, soal perkahwinan, tak bermakna seseorang itu tak punya keinginan untuk semua tu. Mungkin kerana keyakinannya pada Allah itu tersangat tinggi.

Perkahwinan itu satu sunnah. Namun, cepat atau lambat bukanlah menjadi tugas kita untuk menentukan. Allah Maha Mengetahui. Dia yang menjaga kunci hati setiap hamba-hambanya. Dia Maha Mengetahui waktu yang sesuai seorang hamba menempuhi alam perkahwinan.

“Kahwin lambat-lambat tak takut orang cakap bujang terlajak ke?”

Bagi sesetengah orang, perkahwinan pada usia 18 tahun terlalu muda. Tetapi ada juga yang berpendapat perkahwinan sewaktu usia 20 tahun sudah dikira sebagai lewat. Sesetengah yang lain pula menyatakan bahawa umur 30 tahun pun masih dianggap awal untuk berkahwin. Itu hanyalah perspektif masing-masing. Tapi, sampai bila kita mahu membiarkan pendapat orang lain buat kita rasa tak selesa kan.

Apa yang penting, sebelum menempuh alam perkahwinan, persiapkan diri semampunya. Cuba perbaiki mana yang perlu, pertingkatkan mana yang kurang. Sentiasa bersangka baik dengan Dia. Allah tahu mana yang baik sedang dalam kita masih terkapai-kapai mencari hala tuju hidup.

“Mahukan yang terbaik, berusahalah menjadi yang terbaik,”

Perkahwinan bukanlah suatu perkara yang mudah. Tak semudah melafazkan akad. Perkahwinan menuntut seseorang untuk menggalas satu tanggungjawab besar dalam menunaikan apa yang telah digariskan dalam Islam. Big things awaits behind ‘aku terima nikahnya’. Tanggungjawab itu bukan hanya terletak pada si suami, tetapi juga pada isteri.

Bukankah Allah telah berfirman, "Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." (An Nur : 26)

Jodoh, ajal, rezeki, itu semua rahsia Dia. Sehebat manapun kita dalam mencorak kehidupan kita, takkan mampu kita selaraskan dengan perancangan Dia. Jodoh setiap orang sudah ditentukan. Sama ada bertemu di dunia ataupun di alam sana, kita takkan pernah tahu.

Dekatkan diri pada Dia sebelum kita bersandar pada kasih ciptaanNya, kerana kasihNya umpama sehampar lautan luas. Jadilah hamba yang mendamba cinta Allah sebelum mencari cinta manusia. Bila Dia kasih, Dia akan berikan jodoh yang terbaik untuk kita – jodoh yang sentiasa meletakkan Dia di carta paling tinggi.

Allah itu sebaik-baik perancang.

Mungkin dengan tertundanya mengecapi alam perkahwinan itu adalah untuk mengajar kita tentang makna menghargai. Kita akan lebih menghargai mereka di sekeliling kita sebelum ditemukan dengan si dia sebagai pelengkap kehidupan. Kita akan lebih menghargai ‘dia’ yang Allah hadirkan setelah satu penantian.

Mungkin juga dengan tertundanya sesuatu pertemuan itu, Allah persiapkan kita untuk menjadi lebih matang, lebih baik untuk bakal ‘si dia’.

Mungkin juga dengan tertundanya pertemuan itu, Allah sedang mempersiapkan ‘si dia’ yang terbaik sebagai imam atau makmum kita di alam perkahwinan kelak.

Mungkin tertundanya pertemuan itu untuk membuatkan kita lebih meneliti rezeki yang lainnya – rezeki menyambung pelajaran, rezeki berbakti kepada ibu bapa dan sebagainya.

Sentiasalah bersangka baik dengan Allah.

Sedangkan kita juga belum tahu, antara kafan dan gaun pengantin, mana yang kita akan sarung dahulu; antara jodoh dan maut, yang mana akan melamar dahulu.
 


xoxo,
yanie

No comments:

Post a Comment