assalamualaikum w.b.t...
-gambar: google-
"Boleh jadi kamu
membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai
sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak
mengetahui." (Surah Al-Baqarah : 216)
Pernah
tak kita terfikir – kenapa kepompong itu wujud? Kerana satu hari ia akan
berubah menjadi rama-rama yang cantik! Kenapa malam itu gelap? Kerana dari
dalam kegelapan itulah kita mampu nikmati indahnya bulan dan bintang. Dan
kenapa kita diuji? Kerana ujian itu untuk meningkatkan lagi keimanan kepadaNya.
Sabar adalah kunci terhebat dalam menghadapi setiap ujian. Jangan biarkan
keluhan mengatasi kesabaran. Ketika seseorang hamba hanyut dalam keluhan,
pancaindranya tidak mampu lagi memainkan peranan untuk melihat, mendengar,
menghidu dan merasakan nikmat yang bertebaran yang diberikan oleh Allah Swt.
“Dan, Allah mencintai orang-orang yang sabar”. (Ali Imran : 146)
Suatu hari, sedang seorang ayah membaca Al-Quran, datang
si anak kepadanya sambil berkata “Oh ayah..sesungguhnya aku penat,”
Ayahnya
bertanya, “Apakah yang engkau keluhkan wahai anakku?”
“Aku penat. Penat dengan segalanya. Aku berusaha
bermatian untuk mendapat markah terbaik, tetapi masih lagi aku tidak
mendapatkannya. Seolah-olah semua usahaku sia-sia. Aku penat membantu ibu, sedangkan
kawan-kawanku punyai pembantu rumah. Aku ingin pembantu rumah yang boleh
mengemas rumah tanpa aku lakukan apa-apa. Aku penat menjaga tuturku, sedangkan
ramai lagi orang lain yang terus menyakiti aku dengan lidahnya. Aku penat
menjaga tingkahku, sedangkan orang lain tak pernah peduli dengan tingkah mereka
yang kadangkala menyakitkan hati. Aku penat menahan diri dari semua perkara.
Aku ingin jadi seperti orang lain, melakukan segalanya tanpa memikirkan apa
pun,” tiba-tiba si anak menangis.
Si ayah tersenyum. Perlahan-lahan si ayah bangun dan
mengelus lembut rambut anaknya. Diusap pipi yang mula disirami airmata itu.
“Wahai anakku, jangan menangis. Mari ayah tunjukkan
sesuatu,” si ayah memimpin tangan anaknya. Dibawanya si anak melalui satu denai
berliku, jalan yang penuh lopak, lumpur dan lalang. Di kiri dan kanan jalan itu
penuh duri dan serangga berterbangan.
Anaknya mula hilang sabar, “Kita nak ke mana ayah? Jalan
ini terlalu kotor dan tidak selesa. Badanku mula digigit serangga-serangga
kecil,”
Si ayah hanya diam dan tersenyum. Diteruskan perjalanan
tanpa sepatah kata. Tangannya masih erat menggenggam tangan si anak. Akhirnya,
mereka berdua tiba di satu kawasan yang sangat indah. Ada bukit, sungai yang
jernih airnya, kupu-kupu berterbangan, pohon yang rendang. Angin bertiup
sepoi-sepoi bahasa. Cukup menenangkan. Si anak terpegun. Matanya tidak lekang
dari mengagumi keindahan tempat itu.
“Tempat apa ni ayah? Cantik,” si ayah masih lagi diam dan
mula duduk di perdu pepohon yang rendang tadi. Ditepuk lembut rumput di
sebelahnya, tanda mahu si anak duduk di situ.
“Anakku, tahukah kamu mengapa tempat ini begitu sunyi
walaupun ia begitu indah?”
“Tidak ayah. Mengapakah?”
“Itu kerana tak semua orang sanggup untuk melalui jalan
yang kotor dan tidak selesa tadi. Padahal mereka tahu adanya tempat indah ini.
Tak semua orang mampu untuk bersabar walaupun untuk seketika,”
“Ohh. Maksudnya kita tergolong antara mereka yang sabar
ya, ayah?”
“Pandai anak ayah, akhirnya kamu faham,” kata si ayah
sambil mencuit hidung anaknya.
“Faham? Maksudnya?”
“Anakku, dalam hidup kita, kita perlukan kesabaran yang
tinggi. Kita perlukan kesabaran dalam setiap apa yang kita lakukan. Hidup ini
penuh dengan ujian untuk menguji kesabaran kita, untuk meningkatkan keimanan
kita, untuk kita beroleh kemenangan hakiki. Sama halnya dengan jalan tadi,
penuh onak dan duri. Tapi hasilnya? Segalanya terbayar dengan keindahan yang
kamu nikmati saat ini. Bayangkan jika kamu berputus asa dan tidak sabar untuk
sedetik tadi, apa yang akan kamu dapat? Tiada, kan? Kerana itulah ayah selalu
berpesan, bersabarlah,”
“Tapi ayah, sabar itu tak mudah,”
“Ya, ayah tahu. Sebab tu ayah pegang erat tangan kamu.
Agar kamu sentiasa kuat. Kamu ada ayah dan ibu yang akan berada disamping kamu,
ada sahabat yang Dia kirimkan sebagai penguat kamu, kerana seandainya kamu
tergelincir, kami boleh membantu kamu bangun. Tapi ingatlah, tak selamanya kami
mampu untuk berdiri seiring kamu. Sampai saatnya, kami harus pergi. Kamu harus
mampu untuk berdiri sendiri. Kerana itulah ayah mahu kamu belajar untuk tidak
menggantungkan hidup kamu dengan orang lain,”
Si anak kembali mula mengalirkan air mata. Sebak.
“Kerana itu jugalah, ayah mahu kamu menjadi diri sendiri.
Jadilah pemuda muslim yang kuat, yang tetap tabah dan istiqamah dengan setiap
ujian. Allah itu ada, dan akan sentiasa ada di samping kamu. Jika kamu yakin
denganNya, kamu akan mampu terus melangkah walaupun ramai yang kecundang di
tengah jalan, sehinggalah kamu sampai ke syurgaNya,”
“Ya ayah. Syurga itu lebih indah dari ini. Sekarang aku
mengerti, dan aku akan terus bersabar demi syurgaNya. Terima kasih ayah,”
lantas si anak memeluk ayahnya.
Everything will be
okay at the end. So, if it is still not okay, means that it still not yet the
end :)
"Dan mintalah
pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan
sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang
khusyu" (Surah Al-Baqarah : 45)
xoxo,
yanie
No comments:
Post a Comment