Kita Pendosa Yang Ingin Ke Syurga

 assalamualaikum w.b.t...








Sunyi. Silau. Farouq mengecilkan mata; membantu retinanya fokus dengan lebih tepat apa yang terhampar di hadapannya. Namun dia kecewa; yang ada hanyalah hamparan padang yang tak berpenghujung. Ada bukit, dan sesekali ada satu, dua batang pokok tanpa daun. Hanya ranting-ranting kering yang masih setia melekap pada si pokok. Aneh. Mindanya ligat memutar tanya – di mana dia sekarang? Seingatnya tadi dia sedang bergelak tawa bersama rakan-rakannya dalam perjalanan ke kelab. Ya, dia sepatutnya di dalam kereta mewah milik salah seorang rakannya. Setiap malam memang itu rutin hariannya. Keluar di kala embun malam baru mula menitis dan pulang setelah ayam berkokok. Semuanya atas alasan persahabatan. Dia takut kehilangan kawan. Brotherhood konon!

Tapi sekarang? Di manakah tempat dia berdiri sekarang? Tiada figura lain selain dia. Pelik!

Dia melangkah ke hadapan biarpun masih keliru. Setapak, dua tapak, dia berhenti. Di hadapannya seekor rama- rama berterbangan dan hinggap di ranting kering sepohon pokok tadi. Perlahan-lahan dia menghampiri. Hanya rama-rama itu makhluk hidup lain di situ selain dia. Dalam kekeliruan itu, Farouq terus mengomel – di mana tempat ini? Kenapa aku disini?

“Ini adalah jiwamu,” jawab satu suara.

“Siapa tu?” Farouq terkesima. Saujana matanya melilalu mencari kelibat lain selain dia dan si rerama. Dipusing badannya 360 darjah. Hantukah?

“Aku, si rerama,” Farouq kembali bisu. Masih belum mengerti. Matanya terarah ke arah ranting tadi. Rama-rama bercakap? Biar betul. Tak logik! Namun dia layankan sahaja suara itu.

“Apa maksudmu ini adalah jiwaku?”

“Cuba kamu lihat di sekelilingmu. Kosong. Tandus. Jiwa kamu kontang. Kamu perlu isi jiwa ini. Baja, sirami dan jaga sehingga jiwa yang gersang ini makin ditumbuhi bunga-bunga iman. Agar membentuk taman yang indah,”

“Aku tak faham,” jawab Farouq. Tekaknya perit. Kering. Dia haus. Mungkin kerana terlalu jauh berjalan tadi. Dia melilau lagi mencari sungai ataupun sumber air. Namun mindanya terus berputar mencari jawapan kepada pernyataan si rerama tadi. Kosong? Siram?

“Jiwamu seharusnya hidup subur dengan bunga-bungaan di taman akidah dan iman. Tapi selama hari ini, ini jasamu. Jiwamu saban hari semakin kering. Semakin kontang. Kamu terlalu leka dengan dunia,” Farouq bisu. Sejenak dia bermuhasabah. Dia dilahirkan dalam keluarga yang berada, semua yang dia inginkan akan dia dapat. Mungkin kerana itu jugalah dia terus hanyut. Leka dengan nikmat dunia.

“Kamu tentu sedang haus bukan? Mari aku bawa ke suatu tempat,”

Farouq terus mengekori rerama kecil tadi ke suatu kawasan berbukit. Di satu sudut mata Farouq tertancap pada sebuah kolam yang jernih airnya.

“Minumlah dari situ. Mungkin dapat meredakan hausmu,”

“Wahai anak muda, kamu sebenarnya masih punya rasa keinsafan. Masih punya keimanan biarpun setitis di hamparan kontang ini. Manfaatkan peluang yang kamu miliki. Basuhlah dirimu dari belenggu dunia,” Farouq semakin mengerti. Namun buat masa sekarang, tekaknya perlu dibasahkan terlebih dahulu. Lantas, dia meneguk air di kolam tersebut. Sejuk. Nyaman.

“Aku mahu pulang. Aku tak mahu terus disini. Ini terlalu asing bagiku. Aku takut,” kata Farouq setelah dirasakan puzzle di mindanya semakin bercantum sedikit demi sedikit.

“Kamu takut dengan dirimu sendiri? Jadi berubahlah. Basuh dosa-dosa yang telah kamu lakukan sebelum ini. Bertaubatlah. Jangan risau, kamu akan pulang. Takkan selamanya kamu di sini,”

“Tolong aku. Apa aku harus lakukan? Dosa-dosaku terlampau banyak. Mana mungkin Allah ampunkan aku,” Farouq menangis.

“Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun,” si rerama mulai terbang kembali.

“Sebentar. Aku masih ada banyak persoalan,” Farouq bangun dan mengikuti si rerama. Namun, si rerama terbang semakin tinggi dan jauh. Farouq risau.

“Kenapa aku disini? Bagaimana aku boleh berada disini? Bagaimana aku ingin pulang?” Farouq melaung. Sepi.

***

Tiba-tiba matanya terbuka. Namun kepalanya terasa berat. Farouq melilaukan matanya mengenalpasti keadaan sekeliling. Semuanya putih tetapi begitu nyata. Tangannya dapat merasakan dengan jelas tilam tempat dia terbaring. Tekaknya terasa perit dan kering. Dia cuba untuk menoleh ke kiri dan kanan biarpun pandangannya masih kabur. Dia dapat rasakan pipinya dibasahi air mata.

“Farouq dah sedar? Alhamdulillah,” seseorang memegang wajahnya, menyuluh matanya dengan satu cahaya terang seperti torchlight dan memeriksa nadinya. Sedikit demi sedikit pandangannya semakin jelas. Dia akhirnya dapat meneka – dia di hospital. Tapi kenapa dan bagaimana?

“Farouq ingat tak kemalangan haritu?” seseorang bertanya lagi. Kemalangan? Oh, dia ingat! Kemalangan malam itu! Mana yang lain?

***

Sudah dua minggu berlalu setelah Farouq kembali sedar. Dia kini tidak lagi berfoya-foya. Kakinya banyak diarahkan melangkah ke majlis-majlis ilmu. Sepertiga malamnya dihabiskan dengan berdating dengan kekasihnya – Allah. Dia teringat pertemuan dia dan sang rerama sewaktu dia koma tempoh hari. Amat bermakna; dan Farouq tak mahu lagi biarkan jiwanya terus kontang. Dia mahu jiwanya subur dengan bebunga keimanan.

Rakan-rakannya yang turut sama terlibat dalam kemalangan malam itu juga turut diberikan kesempatan hidup kali kedua oleh Allah. Farouq tiba-tiba teremosi. Allah masih berikan peluang untuknya bertaubat meskipun dosanya sebelum ini tidak terkira banyaknya. Betapa kasih sayang Allah itu besar; dan dia titiskan setitik kepada hamba-hambanya.

***

Allah sentiasa berikan peluang untuk kita. Peluang itu hadir dalam bentuk berbeza-beza. Tinggal kita sahaja memilih sama ada ingin kembali kepada Dia ataupun tidak. Seharusnya kita bersyukur kerana dihidupkan dalam Islam. Itu adalah salah satu nikmat yang tidak ternilai yang Dia berikan.

Kita manusia, dan manusia takkan pernah lari dari melakukan dosa. Namun, Allah itu Maha Pengampun. Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Selagi matahari timbul dari arah timur, selagi itulah pintu taubat akan sentiasa terbuka. Kerana apa? Kerana kita pendosa yang juga ingin ke syurga.




xoxo,
yanie

 


Hijrah: Kerana Dia atau dia?

assalamualaikum w.b.t...


gambar: google


Hijrah itu punya banyak maksud. Hijrah dari melakukan larangan Allah S.W.T, hijrah mengasingkan diri dari orang-orang musyrik atau kafir yang memfitnah atau mempersendakan Islam dan hijrah berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Namun, hijrah yang paling besar hari ini adalah hijrah meninggalkan larangan Allah S.W.T.

Teringat satu hari saat membelek nota-nota pelajaran, seorang junior datang menyapa.

“Akak, nak berubah tu susah kan?” sambil tangannya memintal-mintal hujung bantal yang dipeluknya.

“Kenapa tiba-tiba?” Nota yang tadi terbuka ditutup perlahan.

“Kenapa bila kita mula nak berubah, rasa susah sangat? Kenapa rasa macam semua benda salah? Kenapa semua orang mula nak jauh dari kita?”

“Sebab setiap perubahan itu perlukan mujahadah. Nak kejar syurga Allah, bukan senang. Tapi tak susah,”

“Maksudnya?”

“Berubah tu kan perlukan pengorbanan, perlukan kekuatan,”

“Tapi saya baru je rasa nak berubah, kenapa macam berat sangat saya rasa ujian untuk berubah ni kak? Kenapa semua orang suka sangat ungkit kisah lama kita? Semua orang macam makin jauhkan diri dari saya. Sampai saya rasa macam tak layak nak berubah. Rasa berdosa yang amat. Rasa macam biarlah macam ni je terus, tak payah nak berubah jadi solehah,”

“Sebab mereka manusia. Manusia ada pelbagai kerenah. Ada yang tak suka tengok kita bahagia dengan Allah. Ada yang dengki melihat kita mengejar redha Allah,”

“Hurmm..susah kan kak?”

“Sebenarnya berubah tu tak susah macam nak istiqamah. Apa yang kamu rasa sekarang ni mungkin adalah ujian untuk istiqamah dalam berubah. Semak balik niat, berubah kerana manusia atau kerana Allah,”

“Betul juga tu kan kak. Lepasni kena jadi lagi tabah la ni. Akak doakan ya,”

***

Ramai yang berpatah balik di pertengahan jalan. Ramai yang tak mampu mengharungi cabaran untuk berhijrah. Ramai yang mengarang alasan untuk kembali ke dunia lama mereka. Ramai yang dijangkiti penyakit putus asa di pertengahan jalan hijrah. Alangkah ruginya mereka!

“Kau sekarang dah lain la. Tak macam yang aku kenal dulu,”

Kerana perubahan itu perlu. Berubah bukan untuk orang lain. Tetapi untuk diri sendiri juga. Tidak kiralah dalam apa bentuk perubahan sekalipun, kita perlu bijak dalam memilih jalan untuk berubah. Bukan hanya semata-mata mengambil langkah ke depan tanpa berfikir panjang. Tersalah melangkah, mungkin kita akan terjerumus ke satu lembah yang lebih sukar untuk kita menapak kembali. Sebelum berubah, berhenti sejenak. Senaraikan pros and cons daripada perubahan yang bakal dilakukan. Adakah lebih banyak kebaikan mendahului keburukan? Atau sebaliknya? Adakah lebih mendekatkan kita pada Dia Yang Esa atau sebaliknya. Sekurang-kurangnya buatlah penilaian bijak sebelum melakukan perubahan diri.

Berubah itu sukar. Tapi apa yang lebih menakutkan adalah penyesalan. Selangkah kita kehadapan dalam mendekatkan diri kepada kebaikan mungkin akan ada banyak perkara yang dirasakan berbeza dalam kehidupan kita. Apabila kita cuba mendekatkan diri kearah kebaikan dan kita mula merasakan rakan-rakan semakin menjauh dan kita sendiri di jalan yang kita pilih, Dia ada.

Mungkin dalam doa harian kita sesudah solat kita ada menyelitkan doa untuk dijauhkan dari mereka yang jauh dari Dia. Mungkin kita ada mendoakan untuk hanya meletakkan mereka yang benar-benar ikhlas dengan kita. Mungkin itu sebabnya satu persatu rakan yang sebelum ini berjalan seiringan dengan kita semakin jauh terasa. Kerana Allah itu Maha Pengasih. Dia tidak mahu kita berada bersama orang-orang yang tidak benar. Mungkin ujian-ujian yang Dia berikan sepanjang jalan untuk berubah itu adalah untuk menguji tahap keimanan kita. Maka senyumlah. Tabah. Didik hati untuk jadi secekal titis air yang mampu melekukkan batu.

Jadikan setiap langkah yang telah kita pilih sebagai batu loncatan untuk apa yang lebih baik.

“Semalam aku tengok program kat astro oasis. Cerita pasal kiamat. Takutlah. Tapi nantilah berubah, esok-esok jelah. Nanti apa kata orang kalau tiba-tiba berubah,”

Usia muda, waktu remaja. Sememangnya usia yang amat mencabar. Ditoleh ke kiri pembangunan pesat. Dipusing ke kanan, kemajuan yang tiada noktahnya. Namun, setiap apa yang dilalui itu milik kita untuk kita corakkan kearah yang diredhaiNya.

Seringkali kita leka dalam dunia penuh pancaroba. Seringkali kita tertipu dengan sandiwara dunia. Tanpa sedar, dunia ini pentas lakonan, dan kita adalah pelakonnya. Tanpa sedar dunia ini hanya sementara, mungkin seminit nanti Izrail datang mengambil kembali nafas pinjaman dariNya.

Sampai bila kita menidakkan kehendak hati untuk berubah kearah kebaikan? Sampai bila kita menanti ‘hidayah tiba’? Sampai bila? Adakah bila mentari tak lagi muncul dari arah timur, tatkala pintu taubat ditutup buat selama-lamanya baru terdetik rasa ingin kembali ke jalanNya? Nauzubillahminzalik.

Saat pintu hijrah diketuk, bukalah seluas-luasnya. Kerana itu bukti kasih sayang Allah kepada kita.

Jangan pernah mengalah sebelum berjuang. Kita hidup bukan untuk mendambakan pandangan manusia, tetapi untuk mengecapi kasih sayang dari Allah. Ikhlaskan hati, berhijrahlah keranaNya.

Hijrah itu tak perlu secara drastik. Hijrahlah secara perlahan-lahan. Apa yang dinilai adalah titis-titis usaha sepanjang jalan untuk berhijrah.

“Orang-orang yang berhijrah itu ialah orang-orang yang meninggalkan segala apa yang Allah telah melarang daripadanya,” – hadis riwayat Bukhari dari Abdullah bin Umar r.a.

Mengapa perlu berubah?

Kerana sayang dan kasihnya Allah kepada kita, hambaNya. Kasih sayang Allah itu lebih besar berbanding kasihnya ibu kepada si anak. Dia adalah pemilik dunia ini. Dia yang berkuasa ke atas segala makhluk ciptaanNya. Dia penguasa semesta alam. Kasihnya Allah kepada hamba-hambanya mengatasi kemurkaanNya. Kasihnya Allah kepada hamba-hambaNya itu tiada tolok bandingnya. Dia berikan keampunan meskipun bermaharkan amal yang sekecil biji sawi.

Kerana cinta Rasulullah kepada umatnya. Kasihnya Al-Amin kepada setiap umat islam meskipun tak pernah bertemu muka. Kasihnya Rasulullah kepada kita wujud sebelum wujud kita pada hari ini lagi.

“Elehh, bajet ustazah la tu pakai labuh-labuh. Bajet ustaz la tu pakai jubah,”

Kerana masyarakat kita tak dapat dipisahkan dengan sindiran. Namun, itu hanyalah bunga-bunga manisnya penghijrahan.

Kunci utama sesuatu penghijrahan atau perubahan adalah keyakinan. Yakinlah untuk menjadi lebih baik dalam pandangan Allah. Segala sesuatu itu bermula dengan niat. Jika niat kita baik – untuk berubah kerana Allah, Allah akan hadirkan orang yang baik-baik untuk bersama kita. Jangan takut untuk berubah kerana pandangan manusia. Jadilah diri sendiri dalam meraih redhaNya. Akan hadir insan-insan yang akan menyayangi kita tanpa syarat.

Umar bin Al-Khattab r.a berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda,”

“Sesungguhnya sesuatu amal itu bergantung kepada niat. Penilaian Allah bagi setiap orang ialah apa yang dia niatkan. Maka sesiapa berhijrah semata-mata kerana taat kepada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W, maka hijrah itu diterima oleh Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W. Sebaliknya sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya bergantung kepada apa yang dia niatkan,” – hadis riwayat Bukhari, Muslim.

Faiza azamta fatawakkal A’lallah.. La haulawala quwwata Illa billah.. “Apabila kamu telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah S.W.T..



xoxo,
yanie