Percaya dengan diri sendiri

assalamualaikum w.b.t...





Salah satu tanda keagungan Allah pada diri manusia adalah perbezaan yang Dia wujudkan dalam diri setiap manusia yang diciptakan secara sesempurna mungkin. Setiap insan mempunyai potensi dan kemampuan yang tersendiri untuk menjadikan dirinya sebagai siapa dia pada hari mendatang.

Trust. Bukanlah satu benda yang mudah untuk kita buat. Lebih-lebih lagi dengan orang lain. Tetapi lain halnya dalam konteks percaya pada diri sendiri. Kalau kita tak mampu untuk percaya pada diri sendiri, bagaimana kita nak buat orang lain percaya pada kita? Orang lain takkan yakin dengan apa yang kita mampu selagi kita pun tak yakin dengan diri sendiri.

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. (Ali Imran: 139)

Sedangkan dalam keadaan kita percaya dengan diri kita sendiri pun masih ramai yang memandang sinis. Pekakkan telinga, kutip setiap kata-kata orang umpama mengutip ranting-ranting kering. Kumpulkan menjadi satu longgokan. Jangan dibuang terlalu awal. Siapa sangka mungkin ia berguna di masa hadapan. Mungkin boleh dijadikan kayu api sebagai pembakar semangat hidup kita. Abaikan kata-kata negatif yang hanya menjatuhkan semangat kita dalam mengatur tapak untuk lebih maju ke hadapan.

Dari Abu Hurairah r.a, dia berkata: “Rasululah S.A.W bersabda, ‘Di antara (tanda) kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya’ – HR At-Tirmidzi

Seekor helang yang dibesarkan dalam kelompok seekor ayam juga akan membiasakan dirinya dengan cara dan kebiasaan kelompok ayam itu tanpa tahu potensi dirinya yang sebenar. Kerana apa? Kerana ia tak pernah punya keyakinan dan kekuatan dalam dirinya sendiri untuk mencari potensi dirinya yang sebenar. Setiap hari ia diajar dengan gaya hidup kelompok ayam sehingga ia tidak sedar dengan kemampuannya sendiri. Ia takkan pernah tahu bahawa ia boleh terbang tinggi kerana kelompok tempat ia bergaul tidak pernah memberikannya perangsang untuk menjadi dirinya.

Sehinggalah suatu saat apabila ia berani untuk melangkah keluar dari kelompok kebiasaannya dan mencari titik potensinya. Saat itu barulah ia akan sedar sejauh mana ia mampu untuk terbang gah di langit biru berbanding kebiasaannya mematuk padi setiap hari. Saat ia membawa dirinya keluar dari kelompok kebiasaannya barulah ia berjaya mencari kekuatan dirinya yang selama ini terpendam.

Optimis adalah sebuah keyakinan yang akan membawa kita kepada satu pencapaian. Kita takkan mampu sampai ke satu-satu tahap tanpa kepercayaan pada diri sendiri. Yakin dengan usaha kita untuk mendapatkan apa yang kita inginkan.

Dari sudut lain ia dipanggil tawakkal. Setiap langkah yang diambil bukanlah merupakan sesuatu yang mudah, akan ada tentangan dan rintangan yang mesti dihadapi.

Menginjak remaja, semakin banyak cabaran yang bakal ditempuh. Semakin banyak perkara perlu difikirkan. Kita harus struggle untuk berada di atas. Dicemuh, disindir, dipuji itu sebahagian dari proses untuk terus kehadapan. Cara bertahan? Percaya bahawa Dia ada. Kita sentiasa dalam genggaman Allah walau dimana sekalipun kita berada. Apa pun yang berlaku, letakkan Dia di carta teratas. Bila tiba masa seluruh dunia menolak, Dia akan tetap mendakap penuh erat.

Jangan pernah letakkan indicator untuk mendapatkan high expectation daripada orang lain. Manusia memang takkan pernah puas dengan apa yang ada di hadapan mereka. Memang akan sentiasa mencari kepincangan dalam apa sahaja yang terzahir mahupun tidak. Dalam seribu mata yang bertembung dengan mata kita,mungkin hanya sepasang mata yang benar-benar ikhlas menjalin ukhuwah. Tak semua orang bahagia bila kita bahagia. Tak semua juga yang akan senyum bila kita tersenyum. Tak semua akan terkesan bila kita berduka.

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) surga yang telah dijanjikan Allah kepadamu”. (Fusshilat: 30)

Siapa kita di tempat kita berdiri hari ini adalah kerana bagaimana kita percaya diri pada hari semalam. Lakukan sesuatu agar diri kita di masa hadapan berterima kasih kepada kita pada hari ini. Memilih sesuatu jalan untuk ditempuh bukanlah suatu keputusan mudah yang dibuat dalam masa sehari cuma. Keputusan untuk berada di jalan di mana kita berada sekarang mungkin mengambil masa berbulan-bulan. Bahkan mungkin bertahun-tahun. Kenapa? Kerana untuk berada di setiap satu titik dalam dunia ni memerlukan kekuatan dari diri sendiri. Sampai satu saat even family pun hanya mampu untuk menyokong dari belakang sahaja.

Kita perlu sedar bahawa setiap insan mempunyai pandangan dan juga hala tuju sendiri dalam kehidupan mereka. Sikap percaya pada diri sendiri amat penting dalam menentukan arah dan tujuan peribadi diri kita daripada mengikut jejak orang lain yang pastinya satu hari nanti akan membunuh karakter peribadi kita.

Bukankah setiap apa yang kita terima tidak kira sama ada baik ataupun buruk adalah sesuai dengan kemampuan kita? Dan hanya kita yang tahu sejauh mana potensi diri kita. Maka, kembangkan potensi dalam diri kita. Tak usah risau ataupun meragui apa yang diragui oleh orang lain terhadap kemampuan kita. Kerana Allah itu ada, dan Dia Maha Mengetahui perihal hamba-hambanya. Allah takkan meletakkan seseorang di atas sesuatu landasan tanpa sebab selayaknya.

“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu terputus asa dari rahmat Allah.” (QS. Az Zumar: 53)

Sampai satu saat, kita akan mampu merasakan nikmatnya apabila kita percaya dengan diri sendiri. Akan timbul satu rasa kedamaian dalam hati kita. Ramai orang tersalah langkah dengan membandingkan dirinya dengan orang lain yang seterusnya membuatkan dia terikut-ikut dengan gaya orang lain kerana kurang bersyukur dengan dirinya sendiri.

Setiap hari, cuba untuk benihkan rasa keyakinan dalam diri sendiri kerana itulah yang menjadikan siapa diri kita yang sebenarnya. Tidak salah menjadi seorang yang chubby, rendah, hitam, putih, hatta kelabu sekalipun. Rasa percaya pada diri sendiri itu akan menyelamatkan kita.

Setiap manusia itu sudah diberikan akal fikiran, yang membuatkan kita mampu untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, yang terpuji dan tercela, dan mana yang terbaik untuk kita. Kerana itulah manusia mendapat darjat yang tinggi. Namun begitu, sikap percaya pada diri sendiri itu juga haruslah digariskan dengan kepercayaan dan rasa syukur kepada Allah. Yakin dengan diri sendiri tidak bermaksud kita boleh mengetepikan Allah. Kerana setiap apa yang kita lalui, setiap apa yang berlaku di dunia ini, semuanya adalah di bawah kekuasaanNya. Ketika akal dan kepercayaan yang dititipkan oleh Allah disalahgunakan, maka darjat kita akan menjadi lebih rendah.



xoxo,
yanie

antara tawakkal, redha dan sabar

assalamualaikum w.b.t...

setiap kali becakap dengan Drs, the main thing yang dorang pesan is - remember the patient that u cant save..so that u will try harder to save more patients in the future..
teringat kenangan masa internship dulu..

gambar: google


***

Tawakkal itu berserah dan percaya kepada Allah setelah kita berusaha sehabis daya. Redha itu ikhlas menerima segala ketentuanNya dalam apa jua keadaan. Sabar itu mengawal emosi saat diuji.

Sebagai manusia kita takkan pernah lari dari sifat semulajadi seorang manusia. Dalam setiap apa jua yang kita hadapi sudah tentu kita akan berhadapan dengan emosi sedih, gembira, kecewa, bahagia, dan sebagainya.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenteram” - (Ar-Rad:28)

***

“Patient fit ke? Mata macam dah rolling tu,” specialist berjalan mendekati pesakit. Ditepuk bahu pesakit namun tiada respond. Hanya badannya sahaja yang menunjukkan tanda bahawa dia dalam keadaan ‘fit’ atau sawan.

“Awak, tolong saya,” tiba-tiba suasana di dalam ward ketika ward round pagi itu bertukar cemas. Tirai di sekeliling pesakit ditarik untuk menjaga privacy pesakit. Waris pesakit diminta untuk tunggu di luar tirai. Aku segera ke sisi katil pesakit yang tiba-tiba tidak sedarkan diri tadi – membantu doktor pakar melaraskan katil. Doktor memeriksa nadi serta ritma nafas pesakit dan segera melakukan CPR.

“Pakai glove, help me with CPR,” laung doktor tadi sambil terus menekan dada pesakit. Segera aku berlari mendapatkan glove dan bersedia untuk mengambil alih tugas CPR. Troli ubat-ubatan kecemasan ditolak masuk ke kawasan katil pesakit. Doktor lain yang bertugas segera memasang line bagi memudahkan proses memasukkan ubatan yang mampu membantu mengembalikan denyut nadi pesakit tadi.

“Change,” kata doktor yang sedang melakukan CPR tanda mahu bertukar tangan. Aku segera mengambil alih tugas melakukan CPR. Katil pesakit dipanjat. Dada pesakit ditekan bagi membantu jantung berdegup kembali.

“Please mak cik, buka mata,” omel doktor di sebelahku perlahan sambil aku terus menekan dada pesakit yang tidak berombak sejak tadi. Di sebelah kiri, doktor yang lain mula melakukan intubasi kepada pesakit.

Doktor senior di hadapanku meminta aku untuk berhenti melakukan CPR untuk melihat sama ada jantung sudah kembali berdetak ataupun tidak.

Hampa.

Satu, dua, tiga, CPR masih diteruskan. Dua kali defibrillator ditekap ke dada pesakit.

Segala jenis ubatan untuk menaikkan tekanan darah dan membantu jantung berdegup berterusan diberikan kepada pesakit. Dalam kekalutan pagi itu, aku terdengar doktor senior di hadapanku berbisik, "Please mak cik. Please wake up,” perlahan, namun masih jelas didengari kerana aku berada paling hampir dengannya waktu itu. Hatiku tersentuh. Waktu itu nafasku kering dan aku meminta untuk bertukar tangan untuk melakukan CPR. Seorang sahabat lain segera mengambil alih.

Aku mencari-cari detik nadi pesakit itu. Hampa. Tangan pesakit dipegang. Sejuk. Dingin. Dua puluh minit CPR dilakukan. Ubat-ubatan yang berkaitan juga sudah diberikan. Namun tanda-tanda pesakit tadi akan sedar tiada.

Empat puluh minit berlalu. Akhirnya, kami terpaksa akur. Dia lebih menyayangi pesakit itu. Perlahan-lahan CPR dihentikan atas arahan doktor pakar. Cardiac monitor jelas memaparkan flatline. Segala alatan untuk mengesan degup jantung ditanggalkan satu persatu.

Innalillahiwainnailaihirojiun.

Aku masih berdiri di sisi katil pesakit. Doktor pakar keluar dari ruangan katil pesakit untuk memaklumkan ahli keluarga pesakit mengenai berita itu.

“I’m so sorry mak cik. It’s hurtful to say goodbye like this. He loves you more,” doktor senior tadi berbisik perlahan. Seorang demi seorang mula meninggalkan ruangan katil pesakit. Jururawat mula mengambil alih tugas seterusnya.

Keluar sahaja dari ruangan katil pesakit tadi, banyak mata yang memandang. Perlahan-lahan glove ditanggalkan. Aku mengerling jam di pergelangan tangan. Baru pukul 10.35 pagi. Suasana yang berjaya menaikkan hormon adrenalin sesiapa sahaja yang terlibat dan melihat.

Anak bongsu pesakit yang saban hari menjadi peneman setia terduduk sambil matanya merenung jauh ke hadapan. Mungkin masih terkejut kerana dia merupakan orang pertama yang menerima berita itu. Tergopoh-gopoh tangannya menekan nombor di telefon bimbit. Esaknya perlahan, tidak selaju air matanya. Aku sebak. Namun rasa itu harus ditelan.

Sekelip mata sahaja segalanya berubah. Itulah takdir. Bila Dia berkata ‘kun’, maka jadilah ia. Siapa kita untuk menidakkan sesuatu yang sudah rapi dibawah perancanganNya?

“Dialah yang menghidupkan dan mematikan, maka apabila Dia menetapkan sesuatu urusan, Dia hanya bekata kepadanya: ‘Jadilah’, maka jadilah ia” - (Al Mu'min:68)

Tiba-tiba seorang lelaki dan wanita melangkah masuk ke ruangan ward. Meluru mereka mendapatkan anak pesakit tadi. Mereka memeluk gadis itu yang ternyata si adik. Kakaknya terus meraung terduduk di lantai ward. Si abang hanya diam dengan mata berkaca.

“Doktor! Buatla sesuatu lagi. Takkan macam ni je mak tinggalkan kami. Takkan tak ada cara lain. Mak bangunla mak,” teresak-esak si kakak menangis sambil memeluk kaki doktor pakar di situ.

Anak lelakinya tiba-tiba bersuara, “Dasar doktor tak guna! Ni semua mesti sebab doktor lembab ni! Dasar makan gaji buta! Bod*h semuanya! Kalau doktor buat kerja betul-betul semua ni tak berlaku!”

“Sabar encik. Kami dah cuba semua yang terbaik dan terdaya kami lakukan. Tapi, Dia lebih menyayangi ibu encik,” Doktor pakar cuba menenangkan.

“Ahh! Sabar, sabar! Kau apa tahu! Kau senang-senang je suruh orang sabar! Kau tak rasa, kau tak alami!” jari telunjuknya dituding ke muka doktor itu. Si kakak masih lagi teresak.

Adik mereka melangkah perlahan memeluk kakaknya.

“Sudahlah kak. Redhakanlah,” sambil kolam matanya kembali pecah.

Aku yang berdiri di ruangan itu bertukar pandangan dengan rakan lain. Kami sama-sama terdiam.

Sesungguhnya doktor bukan Tuhan. Doktor hanyalah perantara yang bersandarkan kun fayakun Dia Yang Esa. Mereka juga manusia. Sudah tentu mereka masih mempunyai rasa sedih, kecewa, sesal yang mendalam; hanya tidak diluahkan.

“Keimanan ialah bersifat sabar dan berlapang dada,” – HR Thabrani

Siapa pun kita, dalam segala apa jua yang kita lakukan, kita hanya mampu berusaha dan bertawakal. Selebihnya hanya Dia Yang Maha Berkuasa menentukan segala-galanya. Dia Pencipta, pemilik dunia dan isinya. Sudah tentu Dia berhak atas segala-galanya.

Tawakal itu penting, agar kita sentiasa muhasabah diri dan sentiasa mengingati Allah selari dengan usaha yang berterusan. Sebagai hamba, kita hanya mampu berharap kepadaNya dalam apa jua keadaan yang bakal membawa pelbagai kemungkinan.

Meredhakan itu sukar. Namun, Islam mengajar umatnya untuk meredhakan sesuatu – percaya bahawa Allah ada. Segala yang berlaku adalah di bawah ketentuanNya. Allah tidak akan menguji seseorang di luar kemampuan mereka.

“Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan : ‘Allah telah mentakdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat’; kerana sesungguhnya perkataan ‘andaikata’ itu memberi peluang kepada syaitan ” - (Hadis Riwayat Muslim)

Allah takdirkan hidup ini memerlukan kombinasi usaha, ikhtiar, doa dan tawakal kerana kehidupan ini merupakan satu medan ujian yang tidak pernah berakhir; dan fitrahnya selagimana kita berusaha, selagi itu Allah akan membantu urusan kita.

Namun kadangkala aturan hidup tidak seiring dengan apa yang kita harapkan. Kita kadangkala teruji dengan rasa kecewa; dan dalam setiap ujian yang diberikan, Allah juga titiskan secebis kekuatan saat kita dalam kekecewaan. Dia selitkan didikan agar kita belajar bersabar untuk meredhakan ketentuanNya.

“Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan,” – (An-Nahl:96)

***

#truestory


xoxo,
yanie