antara tawakkal, redha dan sabar

assalamualaikum w.b.t...

setiap kali becakap dengan Drs, the main thing yang dorang pesan is - remember the patient that u cant save..so that u will try harder to save more patients in the future..
teringat kenangan masa internship dulu..

gambar: google


***

Tawakkal itu berserah dan percaya kepada Allah setelah kita berusaha sehabis daya. Redha itu ikhlas menerima segala ketentuanNya dalam apa jua keadaan. Sabar itu mengawal emosi saat diuji.

Sebagai manusia kita takkan pernah lari dari sifat semulajadi seorang manusia. Dalam setiap apa jua yang kita hadapi sudah tentu kita akan berhadapan dengan emosi sedih, gembira, kecewa, bahagia, dan sebagainya.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenteram” - (Ar-Rad:28)

***

“Patient fit ke? Mata macam dah rolling tu,” specialist berjalan mendekati pesakit. Ditepuk bahu pesakit namun tiada respond. Hanya badannya sahaja yang menunjukkan tanda bahawa dia dalam keadaan ‘fit’ atau sawan.

“Awak, tolong saya,” tiba-tiba suasana di dalam ward ketika ward round pagi itu bertukar cemas. Tirai di sekeliling pesakit ditarik untuk menjaga privacy pesakit. Waris pesakit diminta untuk tunggu di luar tirai. Aku segera ke sisi katil pesakit yang tiba-tiba tidak sedarkan diri tadi – membantu doktor pakar melaraskan katil. Doktor memeriksa nadi serta ritma nafas pesakit dan segera melakukan CPR.

“Pakai glove, help me with CPR,” laung doktor tadi sambil terus menekan dada pesakit. Segera aku berlari mendapatkan glove dan bersedia untuk mengambil alih tugas CPR. Troli ubat-ubatan kecemasan ditolak masuk ke kawasan katil pesakit. Doktor lain yang bertugas segera memasang line bagi memudahkan proses memasukkan ubatan yang mampu membantu mengembalikan denyut nadi pesakit tadi.

“Change,” kata doktor yang sedang melakukan CPR tanda mahu bertukar tangan. Aku segera mengambil alih tugas melakukan CPR. Katil pesakit dipanjat. Dada pesakit ditekan bagi membantu jantung berdegup kembali.

“Please mak cik, buka mata,” omel doktor di sebelahku perlahan sambil aku terus menekan dada pesakit yang tidak berombak sejak tadi. Di sebelah kiri, doktor yang lain mula melakukan intubasi kepada pesakit.

Doktor senior di hadapanku meminta aku untuk berhenti melakukan CPR untuk melihat sama ada jantung sudah kembali berdetak ataupun tidak.

Hampa.

Satu, dua, tiga, CPR masih diteruskan. Dua kali defibrillator ditekap ke dada pesakit.

Segala jenis ubatan untuk menaikkan tekanan darah dan membantu jantung berdegup berterusan diberikan kepada pesakit. Dalam kekalutan pagi itu, aku terdengar doktor senior di hadapanku berbisik, "Please mak cik. Please wake up,” perlahan, namun masih jelas didengari kerana aku berada paling hampir dengannya waktu itu. Hatiku tersentuh. Waktu itu nafasku kering dan aku meminta untuk bertukar tangan untuk melakukan CPR. Seorang sahabat lain segera mengambil alih.

Aku mencari-cari detik nadi pesakit itu. Hampa. Tangan pesakit dipegang. Sejuk. Dingin. Dua puluh minit CPR dilakukan. Ubat-ubatan yang berkaitan juga sudah diberikan. Namun tanda-tanda pesakit tadi akan sedar tiada.

Empat puluh minit berlalu. Akhirnya, kami terpaksa akur. Dia lebih menyayangi pesakit itu. Perlahan-lahan CPR dihentikan atas arahan doktor pakar. Cardiac monitor jelas memaparkan flatline. Segala alatan untuk mengesan degup jantung ditanggalkan satu persatu.

Innalillahiwainnailaihirojiun.

Aku masih berdiri di sisi katil pesakit. Doktor pakar keluar dari ruangan katil pesakit untuk memaklumkan ahli keluarga pesakit mengenai berita itu.

“I’m so sorry mak cik. It’s hurtful to say goodbye like this. He loves you more,” doktor senior tadi berbisik perlahan. Seorang demi seorang mula meninggalkan ruangan katil pesakit. Jururawat mula mengambil alih tugas seterusnya.

Keluar sahaja dari ruangan katil pesakit tadi, banyak mata yang memandang. Perlahan-lahan glove ditanggalkan. Aku mengerling jam di pergelangan tangan. Baru pukul 10.35 pagi. Suasana yang berjaya menaikkan hormon adrenalin sesiapa sahaja yang terlibat dan melihat.

Anak bongsu pesakit yang saban hari menjadi peneman setia terduduk sambil matanya merenung jauh ke hadapan. Mungkin masih terkejut kerana dia merupakan orang pertama yang menerima berita itu. Tergopoh-gopoh tangannya menekan nombor di telefon bimbit. Esaknya perlahan, tidak selaju air matanya. Aku sebak. Namun rasa itu harus ditelan.

Sekelip mata sahaja segalanya berubah. Itulah takdir. Bila Dia berkata ‘kun’, maka jadilah ia. Siapa kita untuk menidakkan sesuatu yang sudah rapi dibawah perancanganNya?

“Dialah yang menghidupkan dan mematikan, maka apabila Dia menetapkan sesuatu urusan, Dia hanya bekata kepadanya: ‘Jadilah’, maka jadilah ia” - (Al Mu'min:68)

Tiba-tiba seorang lelaki dan wanita melangkah masuk ke ruangan ward. Meluru mereka mendapatkan anak pesakit tadi. Mereka memeluk gadis itu yang ternyata si adik. Kakaknya terus meraung terduduk di lantai ward. Si abang hanya diam dengan mata berkaca.

“Doktor! Buatla sesuatu lagi. Takkan macam ni je mak tinggalkan kami. Takkan tak ada cara lain. Mak bangunla mak,” teresak-esak si kakak menangis sambil memeluk kaki doktor pakar di situ.

Anak lelakinya tiba-tiba bersuara, “Dasar doktor tak guna! Ni semua mesti sebab doktor lembab ni! Dasar makan gaji buta! Bod*h semuanya! Kalau doktor buat kerja betul-betul semua ni tak berlaku!”

“Sabar encik. Kami dah cuba semua yang terbaik dan terdaya kami lakukan. Tapi, Dia lebih menyayangi ibu encik,” Doktor pakar cuba menenangkan.

“Ahh! Sabar, sabar! Kau apa tahu! Kau senang-senang je suruh orang sabar! Kau tak rasa, kau tak alami!” jari telunjuknya dituding ke muka doktor itu. Si kakak masih lagi teresak.

Adik mereka melangkah perlahan memeluk kakaknya.

“Sudahlah kak. Redhakanlah,” sambil kolam matanya kembali pecah.

Aku yang berdiri di ruangan itu bertukar pandangan dengan rakan lain. Kami sama-sama terdiam.

Sesungguhnya doktor bukan Tuhan. Doktor hanyalah perantara yang bersandarkan kun fayakun Dia Yang Esa. Mereka juga manusia. Sudah tentu mereka masih mempunyai rasa sedih, kecewa, sesal yang mendalam; hanya tidak diluahkan.

“Keimanan ialah bersifat sabar dan berlapang dada,” – HR Thabrani

Siapa pun kita, dalam segala apa jua yang kita lakukan, kita hanya mampu berusaha dan bertawakal. Selebihnya hanya Dia Yang Maha Berkuasa menentukan segala-galanya. Dia Pencipta, pemilik dunia dan isinya. Sudah tentu Dia berhak atas segala-galanya.

Tawakal itu penting, agar kita sentiasa muhasabah diri dan sentiasa mengingati Allah selari dengan usaha yang berterusan. Sebagai hamba, kita hanya mampu berharap kepadaNya dalam apa jua keadaan yang bakal membawa pelbagai kemungkinan.

Meredhakan itu sukar. Namun, Islam mengajar umatnya untuk meredhakan sesuatu – percaya bahawa Allah ada. Segala yang berlaku adalah di bawah ketentuanNya. Allah tidak akan menguji seseorang di luar kemampuan mereka.

“Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan : ‘Allah telah mentakdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat’; kerana sesungguhnya perkataan ‘andaikata’ itu memberi peluang kepada syaitan ” - (Hadis Riwayat Muslim)

Allah takdirkan hidup ini memerlukan kombinasi usaha, ikhtiar, doa dan tawakal kerana kehidupan ini merupakan satu medan ujian yang tidak pernah berakhir; dan fitrahnya selagimana kita berusaha, selagi itu Allah akan membantu urusan kita.

Namun kadangkala aturan hidup tidak seiring dengan apa yang kita harapkan. Kita kadangkala teruji dengan rasa kecewa; dan dalam setiap ujian yang diberikan, Allah juga titiskan secebis kekuatan saat kita dalam kekecewaan. Dia selitkan didikan agar kita belajar bersabar untuk meredhakan ketentuanNya.

“Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan,” – (An-Nahl:96)

***

#truestory


xoxo,
yanie

No comments:

Post a Comment