ECG 1

assalamualaikum w.b.t...




Hidup. Satu perkataan yang mudah untuk kita sebut. Tapi di sebalik satu perkataan itu, terselit seribu makna. Ramai orang tahu untuk hidup - bernafas, bercakap, makan, minum, tidur. Tapi adakah betul itu makna sebenar kehidupan? Kalaulah hidup itu semudah makan kuaci di jalanan, burung juga hidup. Haiwan-haiwan di hutan juga hidup. Namun sebagai khalifah Allah, kita semua punya tanggungjawab untuk memaknakan sebuah kehidupan.

Bermula dengan satu langkah, bertembung dengan satu jalan berduri, terkadang lemas di lautan ujian, ada kalanya buntu di persimpangan. Setiap orang punya cerita berbeza, punya jalan berlainan, punya kisah yang tak sama dengan yang lain. Dan apa yang menyokong mereka, mendorong mereka untuk terus 'move on' itu juga berbeza.

Ramai yang menyokong, tak kurang juga yang menjadi penghalang untuk setiap langkah. Bukan mudah untuk bangun kembali setelah jatuh. Lukanya mungkin lama. Penatnya juga mungkin bukan seketika. Tapi kita lagi kuat dari apa yang kita sangka. Percaya pada Dia, percaya pada diri sendiri.

Sebagai muslim, kita punya dua watak di dunia. Satu - sebagai khalifah di bumi Allah dan lagi satu sebagai hamba yang bakal kembali kepada penciptanya. Dua tugas yang mudah untuk dieja tapi andai tanggungjawab itu mampu dirasa, mungkin tak mampu tergalas di bahu.

Namun, mudah atau payahnya satu langkah itu tetap jua perlu diteruskan. Kita tak mampu untuk menoleh ke belakang, tapi kita mampu untuk teliti ke depan sebelum kita meneruskan langkah berikutnya. Tanya hati, tanya jiwa. Adakah betul kita di jalan yang benar? Adakah kita pasti kita berada di landasan yang membawa kita ke satu destinasi? Adakah kita nampak apa yang sepatutnya kita cari?



xoxo,
yanie

No comments: