la tahla

assalamualaikum w.b.t...
 
 
-gambar: google-

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah : 216)
 
Pernah tak kita terfikir – kenapa kepompong itu wujud? Kerana satu hari ia akan berubah menjadi rama-rama yang cantik! Kenapa malam itu gelap? Kerana dari dalam kegelapan itulah kita mampu nikmati indahnya bulan dan bintang. Dan kenapa kita diuji? Kerana ujian itu untuk meningkatkan lagi keimanan kepadaNya. Sabar adalah kunci terhebat dalam menghadapi setiap ujian. Jangan biarkan keluhan mengatasi kesabaran. Ketika seseorang hamba hanyut dalam keluhan, pancaindranya tidak mampu lagi memainkan peranan untuk melihat, mendengar, menghidu dan merasakan nikmat yang bertebaran yang diberikan oleh Allah Swt. 
 
“Dan, Allah mencintai orang-orang yang sabar”. (Ali Imran : 146)
 
Suatu hari, sedang seorang ayah membaca Al-Quran, datang si anak kepadanya sambil berkata “Oh ayah..sesungguhnya aku penat,” 
 
Ayahnya bertanya, “Apakah yang engkau keluhkan wahai anakku?”
 
“Aku penat. Penat dengan segalanya. Aku berusaha bermatian untuk mendapat markah terbaik, tetapi masih lagi aku tidak mendapatkannya. Seolah-olah semua usahaku sia-sia. Aku penat membantu ibu, sedangkan kawan-kawanku punyai pembantu rumah. Aku ingin pembantu rumah yang boleh mengemas rumah tanpa aku lakukan apa-apa. Aku penat menjaga tuturku, sedangkan ramai lagi orang lain yang terus menyakiti aku dengan lidahnya. Aku penat menjaga tingkahku, sedangkan orang lain tak pernah peduli dengan tingkah mereka yang kadangkala menyakitkan hati. Aku penat menahan diri dari semua perkara. Aku ingin jadi seperti orang lain, melakukan segalanya tanpa memikirkan apa pun,” tiba-tiba si anak menangis.
 
Si ayah tersenyum. Perlahan-lahan si ayah bangun dan mengelus lembut rambut anaknya. Diusap pipi yang mula disirami airmata itu.
 
“Wahai anakku, jangan menangis. Mari ayah tunjukkan sesuatu,” si ayah memimpin tangan anaknya. Dibawanya si anak melalui satu denai berliku, jalan yang penuh lopak, lumpur dan lalang. Di kiri dan kanan jalan itu penuh duri dan serangga berterbangan.
 
Anaknya mula hilang sabar, “Kita nak ke mana ayah? Jalan ini terlalu kotor dan tidak selesa. Badanku mula digigit serangga-serangga kecil,”
 
Si ayah hanya diam dan tersenyum. Diteruskan perjalanan tanpa sepatah kata. Tangannya masih erat menggenggam tangan si anak. Akhirnya, mereka berdua tiba di satu kawasan yang sangat indah. Ada bukit, sungai yang jernih airnya, kupu-kupu berterbangan, pohon yang rendang. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Cukup menenangkan. Si anak terpegun. Matanya tidak lekang dari mengagumi keindahan tempat itu.
 
“Tempat apa ni ayah? Cantik,” si ayah masih lagi diam dan mula duduk di perdu pepohon yang rendang tadi. Ditepuk lembut rumput di sebelahnya, tanda mahu si anak duduk di situ.
 
“Anakku, tahukah kamu mengapa tempat ini begitu sunyi walaupun ia begitu indah?”
 
“Tidak ayah. Mengapakah?”
 
“Itu kerana tak semua orang sanggup untuk melalui jalan yang kotor dan tidak selesa tadi. Padahal mereka tahu adanya tempat indah ini. Tak semua orang mampu untuk bersabar walaupun untuk seketika,”
 
“Ohh. Maksudnya kita tergolong antara mereka yang sabar ya, ayah?”
 
“Pandai anak ayah, akhirnya kamu faham,” kata si ayah sambil mencuit hidung anaknya.
 
“Faham? Maksudnya?”
 
“Anakku, dalam hidup kita, kita perlukan kesabaran yang tinggi. Kita perlukan kesabaran dalam setiap apa yang kita lakukan. Hidup ini penuh dengan ujian untuk menguji kesabaran kita, untuk meningkatkan keimanan kita, untuk kita beroleh kemenangan hakiki. Sama halnya dengan jalan tadi, penuh onak dan duri. Tapi hasilnya? Segalanya terbayar dengan keindahan yang kamu nikmati saat ini. Bayangkan jika kamu berputus asa dan tidak sabar untuk sedetik tadi, apa yang akan kamu dapat? Tiada, kan? Kerana itulah ayah selalu berpesan, bersabarlah,”
 
“Tapi ayah, sabar itu tak mudah,”
 
“Ya, ayah tahu. Sebab tu ayah pegang erat tangan kamu. Agar kamu sentiasa kuat. Kamu ada ayah dan ibu yang akan berada disamping kamu, ada sahabat yang Dia kirimkan sebagai penguat kamu, kerana seandainya kamu tergelincir, kami boleh membantu kamu bangun. Tapi ingatlah, tak selamanya kami mampu untuk berdiri seiring kamu. Sampai saatnya, kami harus pergi. Kamu harus mampu untuk berdiri sendiri. Kerana itulah ayah mahu kamu belajar untuk tidak menggantungkan hidup kamu dengan orang lain,”
 
Si anak kembali mula mengalirkan air mata. Sebak.
 
“Kerana itu jugalah, ayah mahu kamu menjadi diri sendiri. Jadilah pemuda muslim yang kuat, yang tetap tabah dan istiqamah dengan setiap ujian. Allah itu ada, dan akan sentiasa ada di samping kamu. Jika kamu yakin denganNya, kamu akan mampu terus melangkah walaupun ramai yang kecundang di tengah jalan, sehinggalah kamu sampai ke syurgaNya,”
 
“Ya ayah. Syurga itu lebih indah dari ini. Sekarang aku mengerti, dan aku akan terus bersabar demi syurgaNya. Terima kasih ayah,” lantas si anak memeluk ayahnya.

Everything will be okay at the end. So, if it is still not okay, means that it still not yet the end :)

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah)  dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyu" (Surah Al-Baqarah : 45)

xoxo,
yanie